Kes Murid Tahun Empat, Polis Ambil Keterangan 35 Individu

04/10/2025 02:15 PM

SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) -- Polis mengambil keterangan 35 individu setakat ini berhubung kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang di sini, empat hari lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata mereka terdiri pelajar, guru, petugas sekolah serta doktor dan keluarga mangsa.

“Kita juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah terbabit, forensik dan hospital. Dijangka dalam masa terdekat kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah terbabit sebelum disahkan meninggal dunia.

Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes itu kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan