KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Touch ’n Go Sdn Bhd dengan kerjasama STAR Systems International (SSI) berjaya melaksanakan demonstrasi Proof of Concept (PoC) bagi Sistem Aliran Pantas Berbilang Lorong (Multi-Lane Fast Flow - MLFF) di Malaysia, menandakan satu langkah penting ke arah pelaksanaan sistem tol tanpa palang yang lebih lancar dan efisien untuk kemudahan rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Touch ’n Go memaklumkan sesi perkongsian ilmu mengenai MLFF itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dan rakan industri bagi melihat sendiri bagaimana teknologi tol bertaraf global dapat diintegrasikan dengan ekosistem pembayaran negara.
Syarikat itu memaklumkan teknologi Titan Flow dibangunkan dan disesuaikan secara tempatan bagi memenuhi keperluan infrastruktur tol di Malaysia, disokong oleh 24 juta pengguna eDompet Touch ’n Go yang disahkan melalui sistem pengesahan elektronik (electronic Know Your Customer - eKYC) untuk jaminan keselamatan data.
Ciri SOS Balance yang diperkenalkan awal tahun ini telah memberi manfaat kepada lebih 13 juta pengguna, membolehkan mereka melalui tol tanpa gangguan dan menambah nilai dalam tempoh 24 jam. Setakat ini, sebanyak RM39 juta telah dibayar kepada lebuh raya bagi pihak pengguna yang mempunyai baki tidak mencukupi.
Touch ’n Go turut memaklumkan kadar penggunaan RFID di Malaysia terus meningkat, dengan 21 peratus transaksi tol kini dilakukan melalui kaedah itu, mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi terhadap sistem tol digital tanpa sentuhan. RFID juga menjadi asas kepada pelaksanaan MLFF ketika Malaysia melangkah ke arah sistem tol tanpa palang sepenuhnya.
SSI pula mempamerkan kepakarannya melalui penggunaan pembaca Titan Pro dan antena Avior, disokong oleh pengawal lorong SIDRA PARSEC serta penderia canggih termasuk Automatic Number Plate Recognition (ANPR) dan 3D LiDAR.
Teknologi berkenaan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk kelulusan penggunaan dalam sistem tol E-ZPass di Amerika Syarikat serta pensijilan di litar ujian yang diiktiraf OmniAir di Texas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi SSI, Stephen Lockhart berkata, Titan Pro dan Avior dibangunkan khusus untuk sistem tol berkelajuan tinggi dan pelbagai lorong. Apabila diintegrasikan dengan platform Touch ’n Go dan sistem SIDRA, projek ini berjaya membuktikan kemampuan pelaksanaan MLFF di Malaysia.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Touch ’n Go dalam merealisasikan visi ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go, Praba Sangarajoo pula berkata Touch ’n Go telah menjadi rakan strategik kepada lebuh raya di Malaysia selama hampir tiga dekad.
“Dengan pelaksanaan RFID secara menyeluruh dan sistem yang sedia untuk MLFF, kami bersedia sepenuhnya untuk menyediakan pengalaman tol yang lancar, boleh dipercayai dan berpandangan ke hadapan.
"Dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, penyelesaian ini mencerminkan komitmen mendalam kami terhadap negara. Di sebalik teknologi, ia melambangkan janji kami untuk terus Memacu Mobiliti Malaysia ke Hadapan,” katanya.
Inisiatif ini sejajar dengan agenda mobiliti digital negara, termasuk pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Pembayaran Terbuka (Open Payment Toll Collection System) yang membolehkan pembayaran tol menggunakan kad debit dan kredit di lebuh raya terpilih.
Walaupun sistem pembayaran terbuka memperluas pilihan kepada pengguna, RFID kekal sebagai tulang belakang teknologi bagi sistem MLFF tanpa palang dan berkelajuan tinggi.
“Dengan hampir 30 tahun pengalaman operasi, Touch ’n Go terus melabur dalam teknologi tol untuk menyokong peralihan kepada MLFF, berdasarkan pembangunan berterusan, ujian menyeluruh dan pembinaan keupayaan tempatan,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama ini, tambahnya, menggambarkan bagaimana kepakaran tempatan dapat digabungkan dengan teknologi global bagi mewujudkan sistem tol yang lebih pintar, pantas dan efisien.
Touch ’n Go turut menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan serta rakan industri bagi melaksanakan MLFF di seluruh negara dan membentuk fasa baharu mobiliti Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial