KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur mengeluarkan 7,013 saman lalu lintas dalam tempoh dua hari pelaksanaan penuh Operasi Pematuhan Undang-Undang (Op PUU) 2025 yang bermula Rabu lepas (1 Okt).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata daripada jumlah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 6,758 saman, diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 215 saman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 40 saman.
Beliau berkata kesalahan tertinggi yang dicatatkan ialah halangan lalu lintas (4,963 saman), diikuti mengabaikan lampu isyarat (389 saman) dan lain-lain kesalahan (334 saman).
“Tiada toleransi untuk mereka yang berdegil. Kita mahu wujudkan etika warga Kuala Lumpur yang mematuhi undang-undang, sekecil apa pun peraturan, sama ada berkait lalu lintas atau halangan jalan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fadil berkata pada peringkat awal, Op PUU dilaksanakan di kawasan tumpuan utama seperti Pavilion, KLCC, Lot 10, Sogo dan Jalan Sultan Ismail sebelum diperluas ke seluruh ibu kota.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama DBKL, JPJ serta semua unit PDRM termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial itu akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh bandar raya yang patuh undang-undang.
Langkah itu juga, katanya, selaras dengan persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pelbagai acara antarabangsa lain.
“Kalau bukan di Kuala Lumpur kita mulakan, di mana lagi tempat sesuai? Kita mahu tunjuk kepada dunia bahawa kita serius dalam mendidik masyarakat agar mematuhi undang-undang, walaupun perkara kecil seperti peraturan lalu lintas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial