Lebih 11,000 Notis Advokasi Kepada Pengguna Jalan Raya Dalam Tiga Hari Op PUU KL

26/09/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Sebanyak 11,308 notis advokasi dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur sepanjang pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang bermula Selasa lepas hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pengeluaran notis itu melibatkan pelbagai jenis kenderaan dan individu termasuk 4,587 motosikal, 4,664 kereta, 315 van, 253 lori, 265 teksi dan 1,224 pejalan kaki.

“Daripada jumlah itu, kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu lintas membabitkan 5,217 notis, diikuti abai isyarat lalu lintas (2,489), tidak ikut lintasan pejalan kaki (1,139) serta nombor plat kotor, kabur, atau tidak mengikut peraturan (927),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesalahan lain katanya ialah berhenti melebihi garisan putih (389 notis), tidak memakai topi keledar (407), tidak memakai tali pinggang keledar (325), berhenti di petak kuning (219) dan ubah suai motosikal (196).

Mohamed Usuf berkata bagi tempoh 6 Sept hingga semalam, JSPT Kuala Lumpur telah mengeluarkan 60,596 notis advokasi kepada pengguna jalan raya.

Op PUU yang dilancarkan pada 6 Sept lepas, menumpukan kepada pendekatan advokasi terhadap kesalahan kecil berkaitan peraturan jalan raya sebelum tindakan saman serta-merta dikuatkuasakan pada 1 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan