KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Seorang pengarah hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu sebagai dorongan agar Suruhanjaya Sekuriti tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah syarikat amanah dan pengurusan harta.
P. Kuhan Arunasalam, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Bangkung, Bangsar dekat sini pada 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Kuhan Arunasalam mengaku tidak bersalah dan pegawai pendakwa Selvam T. Armugom menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai, dan dia dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Wan Shahrizan Wan Ladin tidak membantah jumlah jaminan itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon oleh pendakwaan dan menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial