Syarikat Pengimport Rokok, Pengarah Didenda RM2.08 Juta Guna Cap Dagangan Tanpa Kelulusan

30/09/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Sebuah syarikat pengimport rokok keretek dan pengarahnya dijatuhi hukuman denda berjumlah RM2.08 juta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kelulusan untuk 520,000 kotak rokok jenama 'JOHN', lima tahun lepas.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Roslan Abu Bakar, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan syarikat Ramunas Sdn Bhd di akhir kes pembelaan.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melebihi keraguan munasabah. Syarikat Ramunas dan Roslan (Pengarah Syarikat) telah disabitkan sebagaimana pertuduhan.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman denda terhadap syarikat Ramunas sebanyak RM1.56 juta dan RM520,000 ke atas Roslan serta penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu. Jumlah denda keseluruhan ialah RM2.08 juta," kata Rasyihah.

Sebanyak 13 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk OKS memberi keterangan dalam perbicaraan kes bermula pada 2021.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua ekshibit iaitu 520,000 kotak rokok jenama 'JOHN' dilucutkan hak kepada kerajaan untuk dilupuskan selaras dengan Seksyen 127 Akta Cap Dagangan 2019.

Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa sebagai pengarah syarikat Ramunas, mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan iaitu 520,000 kotak rokok jenama 'JOHN' yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 di sebuah gudang di Pelabuhan Klang, Selangor pada 11.10 pagi, 21 Okt 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, dihukum denda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat Ramunas pula didakwa mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan ke atas barangan sama pada lokasi, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta sama. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 bagi setiap barang, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani manakala peguam R.Janeni Devi mewakili OKS dan syarikat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan