KOTA BHARU, 10 Okt (Bernama) -- Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok elektronik atau vape bernilai RM1.49 juta dalam operasi di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, semalam.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA ACP Ijid Landu Binju berkata rokok elektronik itu ditemukan selepas pasukan anggota PGA menahan sebuah lori pada 6.30 petang semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
“Pemeriksaan menemukan beberapa kotak dibalut plastik kuning mengandungi 9,940 unit peranti rokok elektronik pelbagai perisa di bahagian belakang lori.
“Kesemua peranti itu disyaki tidak mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) kerana tidak mempunyai sijil serta cap MS SIRIM seperti ditetapkan sebelum dibenarkan dijual di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menahan pemandu lori berusia 25 tahun yang dipercayai penghantar peranti itu ke pasaran tempatan.
Rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial