KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Seramai 30 pegawai kanan daripada The Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA), Arab Saudi telah menghadiri kursus anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi memperkukuh jaringan antirasuah global melalui perkongsian kepakaran.
Kursus selama lima hari bertajuk “Siasatan Berasaskan Risikan Dalam Memerangi Rasuah: Strategi dan Amalan Terbaik” itu, dikendalikan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) berakhir hari ini.
Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata program itu, menjadi platform penting untuk Malaysia berkongsi kepakaran dalam kaedah siasatan moden, di samping memperkukuh persefahaman strategik dengan rakan antarabangsa.
“Kerjasama sebegini mampu memperluas jaringan antirasuah global, selain memantapkan komitmen bersama dalam memperjuangkan integriti dan tadbir urus baik,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kursus tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata objektif kursus adalah untuk memperkukuh kefahaman mengenai strategi dan amalan terbaik SPRM melalui kaedah Penyiasatan Berasaskan Risikan (IBI), yang menekankan pengumpulan serta analisis maklumat risikan untuk siasatan yang lebih berkesan.
Mohd Hafaz berkata delegasi NAZAHA yang diketuai Ketua Jabatannya Alqahtani Ayedh Saeed M turut mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
“Lawatan itu memberi peluang kepada delegasi untuk meneliti secara dekat pendekatan SPRM dalam memperkukuh tadbir urus, melaksanakan strategi antirasuah serta meninjau fasiliti operasi suruhanjaya itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial