Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sembilan Aktivis Malaysia Misi FFC Mungkin Dibawa Ke Turkiye Petang Ini

10/10/2025 01:02 PM

SERDANG, 10 Okt (Bernama) -- Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza berkemungkinan dibawa ke Istanbul, Turkiye petang ini selepas ditahan rejim Zionis pada Rabu lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata maklumat yang diterima daripada pusat gerakan operasi FFC di Turkiye memaklumkan Kementerian Luar Turkiye menjangkakan satu penerbangan dari Israel akan mendarat di Istanbul sekitar 3 petang waktu tempatan hari ini.

“Difahamkan, pesawat berkenaan akan membawa sekumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition dari 22 negara, berkemungkinan termasuk sembilan aktivis Malaysia serta enam aktivis Global Sumud Flotilla (tiga dari Norway, dua dari Maghribi dan seorang dari Sepanyol).

Ad Banner
Ad Banner

"Kami juga masih menunggu maklumat terperinci dari Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia dalam penerbangan tersebut sama ada ada atau tidak wakil Malaysia, kami tidak ada kepastian,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan misi kemanusiaan itu di sini. 

Beliau berkata peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah berjaya berjumpa dengan semua aktivis Malaysia yang berada dalam keadaan sihat seperti dilaporkan sebelum ini.

Sembilan wakil Malaysia terbabit ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, Dr Maziah Muhammad dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil. 

Ad Banner

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya merancang untuk menghantar wakil MyCARE ke Istanbul bagi membuat persediaan menyambut ketibaan aktivis berkenaan serta membawa pakaian dan keperluan lain untuk mereka.

Semalam, beliau memaklumkan aktivis-aktivis juga melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian, power bank dan lain-lain telah dirampas namun tiada kecederaan serius setakat ini disahkan termasuk kemungkinan berlakunya insiden keganasan terhadap delegasi Malaysia.

Misi kemanusiaan FFC dan TMTG melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara itu, yang menaiki sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis pada Rabu ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan rakyat Malaysia berada di atas Conscience manakala seorang lagi di atas Umm Saad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan