Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Bangga Perjuangan 23 Aktivis Malaysia, Cipta Sejarah Negara

09/10/2025 01:24 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluahkan rasa bangga dengan perjuangan serta pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau berkata misi kemanusiaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza itu telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila anak Malaysia terdiri daripada pelbagai rakyat berani mengharungi cabaran besar demi solidariti sejagat.

Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata beliau turut menghormati semangat dan keberanian peserta GSF yang sanggup meninggalkan keluarga demi perjuangan kemanusiaan, walaupun berdepan dengan risiko yang tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini bukan melawat Paris, ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai Israel. Saya sebagai seorang bapa, tentunya risau kerana saya tahu mereka cari susah. 

“Tetapi, saya hormat mereka kerana anak-anak ini mencipta sejarah. Mereka bukan sekadar berbicara, tetapi melangkah dalam jihad sebenar,” kata beliau pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata pelayaran misi GSF itu turut mendapat perhatian dunia apabila keberanian para peserta termasuk wakil Malaysia, menjadi simbol keteguhan dan solidariti rakyat sejagat terhadap perjuangan Palestin.

Ad Banner

Anwar juga membidas dakwaan segelintir pihak yang memperlekehkan perjuangan peserta GSF dengan menuduh mereka mempunyai niat atau agenda tertentu.

“Saya salute (tabik) mereka sebab saya kalau nak pergi pun tak mudah juga. Mereka pergi, tetapi ada yang cakap niat dia mungkin tak baik, nak popular, nak popularkan pondok dia — manusia jenis apa ini?

“Kamu tak berani pergi. (Jadi, apabila orang (lain) pergi, kamu doakanlah. Itu yang mampu kita buat,” kata beliau sambil menambah semangat para aktivis itu jauh lebih bermakna berbanding mereka yang hanya pandai berbicara tanpa berbuat apa-apa untuk membantu perjuangan rakyat Palestin.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan kerajaan Turkiye.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan