LIMBANG, 24 Julai (Bernama) -- Tindakan pantas trup Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 680 karton rokok dan 16 karton minuman keras di kawasan sempadan negara di sini awal pagi ini.
Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 2 pagi ketika anggotanya melakukan rondaan berhampiran sebuah jeti sebelum menahan sebuah kereta Perodua Myvi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang warganegara Malaysia yang dipercayai cuba menjalankan aktiviti penyeludupan melalui laluan sungai.
“Rampasan melibatkan pelbagai jenama rokok dan minuman keras dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM139,228.30 termasuk kenderaan yang digunakan suspek. Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Panglima 9 Briged Brig Jen Jafri Sulaiman turut merakamkan ucapan syabas kepada trup 9 RS atas kejayaan itu.
“Tentera Darat akan terus komited memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial