ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan berazam memperluas liputan 5G di desa sebagai antara usaha memastikan pemimpin di kawasan itu memanfaatkan penggunaan media sosial untuk berkomunikasi dengan penduduk.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata sehubungan itu, pihaknya dan Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi akan bersama-sama menjayakan usaha berkenaan.
“Liputan 5G ini tidak hanya di kawasan berpendudukan tinggi tetapi juga di kawasan KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah), FELCRA dan kampung lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program dan Belia Luar Bandar KEDA 2025 di sini malam ini yang turut dihadiri Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Zahid juga berkata justeru itu, pemimpin desa perlu memperkasa teknologi dan mahir dalam teknologi terutama penggunaan media sosial untuk berkomunikasi dengan penduduk.
Ahmad Zahid berkata justeru itu, pemimpin desa juga perlu meningkatkan ilmu kepimpinan pada zaman moden ini dengan memperimbangkan sistem lama dan baharu dalam bidang telekomunikasi.
Beliau turut menyarankan agar pemimpin desa turun padang dan tidak hanya menunggu laporan sebaliknya mendengar sendiri denyut nadi rakyat selain mengutamakan amanah serta integriti kerana kepimpinan tanpa integriti umpama rumah tanpa tiang yang runtuh apabila diuji.
Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa sebanyak RM40.7 juta diperuntuk kepada KEDA tahun ini bagi manfaat kumpulan sasar termasuk golongan belia luar bandar di seluruh Kedah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM10.62 juta telah diperuntuk khusus bagi inisiatif kepimpinan desa dan pemerkasaan belia merangkumi bidang kepimpinan, keusahawanan, pendidikan serta latihan kemahiran,” katanya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan Buku Garis Panduan Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan menyampaikan geran Hak Milik Rumah Desa KEDA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial