Ops Kesan 4.0: KPDN Johor Periksa 48 Premis

23/07/2025 01:04 PM

JOHOR BAHRU, 23 Julai (Bernama) -- Sebanyak 48 premis melibatkan 235 unit simpanan stok (SKU) telah diperiksa Kementeri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 pada 1 hingga 21 Julai lepas.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pemeriksaan itu susulan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), dengan fokus terhadap pemantauan barangan keperluan asas dan caj perkhidmatan bagi membendung aktiviti pencatutan.

“Sebanyak 48 Notis Pengesanan Maklumat Barangan (NPMB) telah diserahkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan harga, kos dan margin keuntungan sebagai sebahagian daripada proses siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Ops Kesan 4.0 dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi memastikan tiada kenaikan harga tidak munasabah selain menghalang pencatutan berselindung di sebalik pelaksanaan SST.

Beliau berkata setakat 21 Julai, pihaknya sedang menyiasat empat aduan berkaitan Ops Kesan 4.0 membabitkan dua bengkel kenderaan, sebuah kedai runcit dan pas parkir kenderaan.

Lilis Saslinda berkata pemantauan dan penguatkuasaan tertumpu kepada empat elemen utama iaitu senarai barangan dan perkhidmatan tertakluk kepada SST, senarai perniagaan serta syarikat berdaftar melebihi nilai ambang, tempoh pelaksanaan dasar berkaitan SST serta margin keuntungan selaras dengan undang-undang.

“Oleh itu, semua peniaga dan syarikat dinasihati meneliti kesemua elemen ini sebelum membuat sebarang pelarasan harga atau caj perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata pemantauan berterusan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN di seluruh negeri dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.

“Individu yang disabitkan kesalahan pencatutan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya. Bagi syarikat, denda hingga RM500,000 boleh dikenakan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai kenaikan harga tidak munasabah diminta menyalurkannya melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6245/6088), WhatsApp (012-665 4292), e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Terdahulu, Lilis Saslinda bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Johor Mohd Fuzi Hadi Abd Latif meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di Larkin Junction, hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan