PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap seorang anggotanya yang memandu kenderaan jabatan dengan cara tidak wajar dan bahaya di Simpang Pulai, Perak.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan yang dikenakan termasuk pengeluaran notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar.
Beliau berkata tindakan lain adalah larangan memandu kenderaan jabatan dan arahan menggantung tugas serta menempatkan anggota yang terlibat ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.
“JPJ juga telah mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan JPJ yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Sementara itu, beliau berkata orang awam diseru untuk melaporkan aduan secara terus atau masa nyata jika terdapat mana-mana pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan.
“Laporan boleh dibuat dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah kenderaan JPJ cuba memotong sebuah lori di garisan berkembar sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial