KPDN Saran Mangsa Penipuan Pakej Haji Buat Aduan Kepada Tribunal

19/06/2025 03:32 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan individu yang menjadi mangsa penipuan pakej haji agar membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut pampasan sewajarnya.

Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata laporan atau aduan juga boleh dibuat di cawangan (KPDN) seluruh negara atau secara dalam talian, dan setakat ini pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes berkenaan.

"Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka. Melalui TTPM, pengadu boleh membuat tuntutan sehingga RM50,000. 

"Mereka ingat buat laporan polis (sahaja) cukup, tetapi mereka juga kita saran agar melaporkannya kepada TTPM," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.

Fuziah berkata TTPM akan menilai kes yang dilaporkan berdasarkan butiran yang diberikan, termasuk jumlah bayaran yang dibuat, janji yang ditawarkan serta perkhidmatan yang sebenarnya diterima pengguna.

Justeru beliau turut menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati dan tidak teragak-agak membuat aduan sekiranya berdepan sebarang kes yang menjejaskan hak mereka. 

Baru-baru ini media melaporkan 47 jemaah dari Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan