KANGAR, 22 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 756 kotak barangan kosmetik serta ubat-ubatan dan suplemen pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM607,150 dipercayai dari negara jiran dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di Padang Besar semalam.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata rampasan dilakukan pada 3.30 petang selepas sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 2, PGA Kulim, Kedah bersama anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) KM27 Padang Besar menahan dua lori.
"Dua lori bonded jenis HINO bernombor pendaftaran Malaysia dipandu lelaki dikesan semasa melalui sekatan jalan raya itu.
"Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lori itu menemukan 680 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis dianggar bernilai RM110,400 serta 76 kotak ubat-ubatan dan suplemen pelbagai jenis dianggar bernilai RM496,750," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua pemandu berusia 41 tahun itu, barangan dirampas dan lori masing-masing diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Perlis untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 7 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial