Tiga Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Di Tapah

22/07/2025 06:47 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Tiga warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Tapah ke Bidor hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.19 pagi dan menggegaskan tujuh anggota ke lokasi.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Chong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76 dan Tan Ah Tak, 70. 

"Kemalangan itu melibatkan perlanggaran sebuah kereta jenis Toyota Vios dan Proton X50.

“Terdapat seorang mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios cedera manakala lima mangsa lelaki menaiki Proton X50 iaitu dua mangsa cedera dan tiga lagi meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarozi berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata kesemua mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah manakala kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila Toyota Vios melanggar bahagian belakang Proton X50 yang berada di lorong kanan, menyebabkan Toyota Vios terbabas ke kawasan berumput sebelah kiri lebuh raya manakala Proton X50 dipercayai berpusing dan menghentam besi pembahagi sebelah kiri lebuh raya.

“Berikutan itu, tiga penumpang Proton X50 disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan kereta itu cedera. 

“Pemandu Toyota Vios pula akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Johari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin menerusi talian 05-4011222 atau 013-2087919.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan