Lelaki Rugi Lebih RM260,000 Terpedaya Penipuan Pelaburan Dalam Talian

22/07/2025 12:29 PM

JOHOR BAHRU, 22 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun kerugian RM267,888 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata laporan berhubung kejadian itu dibuat mangsa di Balai Polis Pelangi Indah di sini semalam setelah menyedari ditipu oleh individu yang menyamar sebagai ejen pelaburan.

“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipaparkan di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita memperkenalkan diri sebagai ‘Olivia Leong’ melalui aplikasi WhatsApp. 

“Suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan pelaburan hingga 80 peratus dalam tempoh singkat. Mangsa kemudian diarahkan memuat turun sebuah aplikasi dan berurusan dengan individu bernama ‘George’ bagi tujuan transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila cuba mengeluarkan wang pelaburannya namun diarahkan suspek untuk membuat tambahan pelaburan.

Raub berkata mangsa telah melakukan sembilan pemindahan wang antara 4 hingga 17 Julai ke akaun sebuah syarikat melibatkan jumlah keseluruhan RM267,888.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperoleh harta melalui tipu daya, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

“Polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan pelaburan luar biasa yang dipaparkan di media sosial, serta jangan serahkan maklumat peribadi dan elak memuat turun aplikasi tidak sah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan diminta menyalurkan kepada National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau membuat semakan melalui portal rasmi Semak Mule di pautan https://semakmule.rmp.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan