PENAMPANG, 24 Julai (Bernama) -- Sebanyak 463 pengamal dan veteran media seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang bertujuan membantu mereka berdepan kesukaran hidup dan masalah kesihatan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerjasama dengan persatuan dan kelab media di peringkat negeri akan dipertingkatkan bagi membantu lebih banyak pengamal media yang layak menerima bantuan berkenaan.
"Setakat ini, kita belum menghabiskan jumlah dana yang telah diperuntukkan daripada dua program HAWANA sebelum ini, dengan sumbangan RM1 juta diumumkan Perdana Menteri pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan sumbangan kepada Jurufotografi Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Vicky Sylvester Matanjang, 52, yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya pada Mac lepas.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Kemalangan berkenaan mengakibatkan Vicky patah enam batang rusuk di bahagian kiri serta tangan kiri, dan kini memerlukannya menjalani rawatan fisioterapi berterusan.
Vicky telah berkhidmat selama 18 tahun di Jabatan Penerangan Malaysia sejak menyertai perkhidmatan itu pada 2007.
Fahmi berkata Vicky merupakan penerima ke-24 yang telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA di Sabah.
"Saya telah meminta Bernama meneliti mekanisme untuk mengumpul dana bagi membantu lebih ramai pengamal media pada masa akan datang. Namun buat masa ini, dana yang telah diperuntukkan masih belum habis digunakan," katanya.
Mengenai isu gaji wartawan khususnya di Sabah yang masih di bawah RM2,000 walaupun sudah lama berkhidmat, Fahmi berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.
"Saya akan meminta Gabungan Kelab Media Malaysia mendapatkan maklumat tentang keadaan ini untuk dibincangkan dalam masa terdekat. Saya ingin mengumpulkan maklumat bukan sahaja dari Sabah tetapi juga dari semua negeri.
“Kita juga akan meneliti aspek lain termasuk status pekerjaan, sama ada sebagai stringer (pemberita sambilan) atau pekerja sepenuh masa," katanya.
Pada Selasa lepas (22 Julai), Nur-ul Afida menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan Sabah News Hafizul Andie Zulkarnain, 35, di Sepanggar, Kota Kinabalu yang menjalani pembedahan akibat komplikasi usus berpintal dan apendiks pecah.
Hafizul yang mula bertugas sejak 2020 kini dalam proses pemulihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial