KUANTAN, 20 Julai (Bernama) -- Polis mengeluarkan 139 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 19 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya di sini dan Jalan Kuantan Bypass bermula dari 10 malam hingga 6 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata sebanyak 60 motosikal telah ditahan dan kesemua notis saman itu dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng yang berumur 13 hingga 22 tahun.
Beliau berkata pihaknya turut menahan satu pasangan yang melakukan aksi wheelie semasa menunggang motosikal jenis Honda EX5, yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Penunggang merupakan seorang lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sendiri, manakala pembonceng ialah seorang wanita berumur 24 tahun yang tidak bekerja. Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan menegaskan pihak polis akan terus komited dalam membanteras kegiatan samseng jalanan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta orang lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial