KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sentiasa bersifat terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan semua pihak berwajib termasuk Polis Diraja Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) berhubung penganjuran satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang diadakan di Kota Bharu baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pertemuan yang diadakan itu untuk berbincang dan mengetahui lebih lanjut mengenai penganjuran yang diadakan supaya ia dapat diselesaikan secara berhemah dan menepis dakwaan yang tidak munasabah.
"Mungkin kesilapan yang dibuat itu bukan kesalahan penganjur, (tetapi) kesalahan diri sendiri, mungkin juga … sebab itu saya kata ia mesti disiasat dahulu supaya pihak polis juga tidak dipersalahkan oleh masyarakat … kita takut ada yang teraniaya sebab polis buat kerja dia, sebelah sini pun (MAC) ada tanggungjawab dia.
"Apa sahaja program yang nak dibuat kalau ia bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan adab orang Kelantan kita memang tidak boleh terima. Kalau ada program-program yang menyentuh sensitiviti ditambah pula dibuat di kawasan penempatan penduduk kampung, minta dulu kebenaran daripada pihak yang terlibat seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), polis dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata pihaknya juga boleh mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat mana-mana penganjuran yang menyalahi atau melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Sebelum ini, polis Kelantan menyerbu satu program berkaitan LGBT melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini pada pertengahan Jun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan mengenai penganjuran terbabit dan hasil pemeriksaan di lokasi menemukan ratusan keping kondom serta beberapa kotak ubat HIV di dalam sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan tempat simpanan oleh penganjur.
MAC menerusi kenyataan media menjelaskan pihaknya mengadakan sesi outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV di Kemumin, di sini pada 17 Jun lepas sebelum diserbu polis.
Program yang berlangsung dari 8 malam hingga 2 pagi itu ialah pendekatan strategik yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial