Pegawai Polis Percubaan Terlibat Rasuah Direman Tiga Hari

10/07/2025 06:54 PM

ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai polis percubaan ditahan reman tiga hari bermula pada hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM2,000 bulan lepas.

Perintah reman hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, suspek yang bertugas di sebuah balai di negeri ini meminta suapan terbabit sebagai balasan kerana melepaskan seorang tahanan daripada jaminan polis.

Sumber itu berkata lelaki berumur 30-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi semalam di balai suspek bekerja.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Jun lepas dan siasatan awal mendapati suspek meminta rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan bagi membolehkannya dilepaskan daripada jaminan polis, sedangkan tiada bayaran yang perlu dijelaskan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan