Koperal Polis Didakwa Bantu Lepaskan Suspek Kes Bunuh 

10/07/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membantu seorang suspek kes bunuh melepaskan diri, bulan lepas. 

Mohd Syhrulazlan Mohd Safri, 35, didakwa cuai dan dengan sengaja membantu Mohd Hafeez Ali, 45, yang terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan melepaskan diri dengan tidak menangkap suspek di taman permainan berhampiran sebuah kondominium di Gombak pada 12.15 tengah malam, 29 Jun lepas. 

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim adalah mengikut Seksyen 221(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, Mohd Hafeez didakwa membunuh Muhammad Umar Abdul Jalil, 38, di sebuah premis berhampiran kondominium sama pada 11.45 malam, 28 Jun lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, rakan kepada Mohd Hafeez, Noor Azzly Hisham Sabtu, 47, didakwa membuang pisau digunakan untuk menikam si mati (Muhammad Umar) dengan niat untuk melindungi Mohd Hafeez daripada dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di sebuah premis berhampiran kondominium sama pada 11.45 malam, 28 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi rakan mereka, N. Jayashanthan, 50, didakwa dengan sengaja melindungi Mohd Hafeez daripada dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 11.45 malam di lokasi serupa.

Dia dituduh mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan Noor Azzly Hisham dan Jayashanthan diikat jamin masing-masing RM8,000 dan RM8,500 dengan syarat tambahan sama dan menetapkan tarikh sama (10 Sept) untuk sebutan semula bagi kesemua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan