Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

India Hargai ASEAN Rakan Kongsi Yang Dipercayai, Komited Perkukuh Kerjasama Serantau

11/07/2025 06:33 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- India menganggap ASEAN sebagai rakan kongsi tulen dan dipercayai serta menegaskan komitmen kukuh untuk memperdalam kerjasama dengan blok serantau itu dalam semua bidang.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar India, Pabitra Margherita berkata India dan ASEAN mempunyai hubungan sejarah dan perkongsian dinamik yang terus berkembang di bawah Dasar Bertindak Ke Timur New Delhi.

“Hubungan (ASEAN-India) semakin kukuh dari hari ke hari, dan ia dapat dirasai serta dilihat melalui pelbagai inisiatif oleh negara-negara ASEAN.

“Kita telah bekerjasama dalam semua sektor, termasuk perdagangan, perniagaan dan budaya,” katanya kepada Bernama di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, Jumaat.

Margherita menekankan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi telah menghadiri 11 mesyuarat berkaitan ASEAN, menunjukkan kepentingan hubungan antara India dan blok serantau itu.

“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN terakhir di Laos, beliau (Modi) sekali lagi menegaskan bahawa abad ini adalah abad Asia, terutamanya bagi India dan negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penerimaan Pelan Tindakan ASEAN-India (2026–2030) baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai langkah tepat pada masanya untuk meningkatkan lagi kerjasama dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN serta Timor-Leste.

Sementara itu, Margherita memuji Malaysia atas kejayaan penganjuran ASEAN serta layanan mesra sepanjang mesyuarat berlangsung.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Malaysia selaku pengerusi ASEAN kali ini, dan saya mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan besar menganjurkan semua acara ini,” katanya.

ASEAN dan India mula menjalin hubungan dialog sektoral pada 1992 sebelum dinaik taraf kepada status rakan dialog penuh pada 1995, dan seterusnya kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan