Pematuhan Pemakaian Tali Pinggang Keledar Pemandu, Penumpang Bas Di Pulau Pinang Memuaskan

03/07/2025 01:25 PM

BUTTERWORTH, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendapati kadar pematuhan arahan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran di negeri itu memuaskan. 

Pengarah berkenaan Zulkifly Ismail berkata dapatan itu diperoleh hasil operasi khas dijalankan pihaknya  sejak Selasa, iaitu selepas arahan peraturan berkenaan dikuatkuasakan.

Beliau berkata sebanyak 125 bas ekspres dan 43 bas persiaran diperiksa dan tiga notis saman dikeluarkan, iaitu melibatkan seorang pemandu bas ekspres serta dua penumpang. 

"Kesalahan membabitkan pemandu bas dikesan ketika pemeriksaan di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan pada Selasa dan bas itu dalam perjalanan dari Kedah ke ibu negara, manakala dua lagi penumpang dalam bas dari Ipoh ke Butterworth. Pegawai JPJ yang menyamar mengesan kesalahan mereka.

"Tiga individu itu dikenakan kompaun masing-masing RM300 dan berdasarkan kepada statistik awal ia menunjukkan petanda positif pemandu dan penumpang bas peka serta mematuhi pemakaian tali pinggang keledar," katanya kepada pemberita. 

Zulkifly berkata demikian selepas Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Terminal Bas Penang Sentral di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan, pihaknya meletakkan pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres.

"Selain taktik penyamaran, pihak kami turut menjalankan pemeriksaan di Terminal Bas Penang Sentral,  Terminal Bas Sungai Nibong, hentian Rehat dan Rawat serta sekatan jalan raya.

Zulkifly berkata pihaknya menyeru pemandu dan pengusaha kenderaan perkhidmatan awam  yang terlibat supaya memastikan kenderaan masing-masing dilengkapi sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik. 

JPJ melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap peraturan itu selaras dengan peruntukan  di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan