KOTA BHARU, 30 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,000 individu di negeri ini daripada golongan belia B40 termasuk pelajar sekolah menengah dan Kolej Komuniti terpilih untuk mengikuti program MyLesen B2 secara percuma pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Apandi Jusoh berkata calon-calon yang terpilih wajib mengikuti kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP), teori, praktikal dan praujian yang sama seperti ditetapkan JPJ.
"Pada tahun lepas, kita berjaya membantu 2,500 rakyat Kelantan daripada golongan B40 untuk mendapatkan lesen memandu motosikal.
"MyLesen B2 ini bukanlah lesen jamin lulus kerana mereka juga perlu melalui proses seperti ujian dan latihan yang ditetapkan JPJ," katanya ketika ditemui Bernama selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan Bilangan 1 Tahun 2025, di sini hari ini.
Mohd Apandi berkata lesen memandu yang diperoleh secara tidak langsung dapat memudahkan urusan peserta melakukan rutin harian, sekali gus melahirkan rakyat yang mematuhi peraturan jalan raya.
Program MyLesen B2 merupakan antara usaha kerajaan dalam melahirkan penunggang motosikal yang kompeten dan celik undang-undang keselamatan jalan raya sekali gus mengurangkan nahas membabitkan golongan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial