MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Polis Melaka menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud selepas menahan tiga lelaki warga China dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Pandan Malim, di sini, pada Isnin (7 Julai) lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu menahan suspek berusia antara 32 hingga 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Dipercayai kesemua mereka aktif dengan kegiatan terbabit sejak Mac tahun ini dengan menyasarkan mangsa warga China.
“Polis turut merampas satu unit komputer riba dan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama. Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula 8 hingga 11 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam tempoh singkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial