Polis Tahan Suami Isteri Disyaki Dera Kanak-Kanak Lelaki

24/06/2025 06:51 PM

KANGAR, 24 Jun (Bernama) -- Polis menahan ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Kampung Dato Ahmad Musa, Simpang Empat, dekat sini kerana disyaki mendera kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berumur 37 tahun dan isterinya, 27, itu ditahan kira-kira 11 malam tadi, dan direman empat hari bermula pada hari ini untuk siasatan lanjut.

Yusharifuddin berkata datuk kanak-kanak itu membuat laporan polis pada Ahad lepas, selepas cucunya mengadu dicubit pada paha kanan, dicekik, ditampar di kepala, dibaling batu pada dada kiri dan dicucuk menggunakan jarum pada lengan kiri.

“Mangsa mengadu kepada datuknya pada 9 malam, Jumaat lepas dan mengatakan kejadian berlaku di rumah ibunya. 

“Pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah mendapati tiada kesan lebam atau bengkak pada anggota badan mangsa kecuali kesan satu cucukan jarum atau benda tajam kecil pada lengan kiri mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yusharifuddin berkata mangsa masih di hospital dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan