Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Ulangi Sokongan Terhadap Usaha Perkasa NGO Islam Di Asia Tenggara - Mohd Na’im

25/06/2025 10:52 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmennya terhadap usaha memperkasakan badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi dakwah di seluruh Asia Tenggara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu terus melaksanakan program kerjasama yang sesuai secara aktif dalam bidang masing-masing di peringkat Asia Tenggara.

Beliau berkata program kerjasama perlu dilaksana terutama bagi memudahkan pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan pemerkasaan komuniti melalui inisiatif yang inklusif serta lestari dalam pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan kekal komited untuk bersama-sama meneruskan agenda pemerkasaan peranan NGO dan institusi dakwah di Asia Tenggara ke arah pembangunan komuniti Islam di Asia Tenggara,” katanya.

Mohd Na'im berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Program Kepimpinan MADANI SEA (MSEALP) di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai contoh, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menaja 100 pelajar dari Kemboja untuk melanjutkan pengajian mereka di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP dan Kolej Dar Al-Hikmah. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula terus aktif dalam melaksanakan pelbagai program kerjasama bagi pembangunan hal ehwal Islam melalui Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) terutama dalam pembangunan program halal dan dakwah.

“Tahun ini, JAKIM sedang menyelaras Kongres Masjid Sedunia yang akan turut membabitkan kerjasama pemimpin masjid di Asia Tenggara. 

“JAKIM turut diberi mandat untuk menganjurkan Perhimpunan Belia Islam Asia Tengara dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun ini,” katanya.

Mohd Na'im berkata Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga terlibat secara aktif dalam menyelaras aktiviti dakwah di peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa.

“Saya juga berhasrat mengadakan lawatan dan perutusan muhibah ke beberapa negara di Asia Tenggara dalam masa terdekat bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan hal ehwal Islam di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau juga berkata MSEALP bukan sekadar sebuah program tetapi juga adalah makmal untuk kepimpinan masa depan. 

“Di sini, anda tidak diajar memenangi hujah sebaliknya bagaimana untuk membina jambatan.

"Anda tidak dilatih untuk menakluk orang lain sebaliknya bagaimana menjalinkan kerjasama dengan pihak lain,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan