Polis Tahan Lelaki Bantu Siasatan Bapa Maut Ditikam

25/06/2025 08:28 PM

IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian bapanya yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Tasek Damai di sini, tengah malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 31 tahun bekerja sebagai penjual sambilan ditahan pada 12.15 tengah malam tadi dan direman tujuh hari bermula hari ini. 

Mangsa berusia 57 tahun ditemukan terlentang dan berlumuran darah di dapur rumah dengan kesan tikaman di perut serta hirisan pada dada. 

“Suspek tinggal bersama mangsa dan memberitahu kali terakhir bapanya membalas pesanan telefon pada 2.40 petang dan semasa pulang ke rumah pada 7.30 malam, pintu jeriji dan pintu cermin (pintu gelangsar) terbuka manakala sofa di ruang tamu tidak tersusun. 

“Bagaimanapun, tiada barang berharga hilang. Pemeriksaan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) rumah itu tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abang Zainal Abidin berkata polis menemukan sebilah pisau berukuran 22 sentimeter yang telah dibersihkan di singki dapur, dipercayai digunakan dalam kejadian itu. 

Beliau berkata jiran mangsa memberitahu kali terakhir melihat lelaki itu di luar rumah pada 11 pagi, selain tidak mendengar atau melihat sebarang kejadian mencurigakan di rumah tersebut.  

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan