SIBU, 24 Jun (Bernama) -- Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah pondok kebun di Jalan Rantau Panjang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri pada 5.17 petang semalam dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa berusia lingkungan 30-an dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menahan pasangan berkenaan kira-kira 9.50 malam tadi di tepi Jalan Teku-Pasai Siong, di sini.
Zulkipli berkata kedua-duanya yang juga warga Indonesia berusia lingkungan 30 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, kini direman hingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis turut merampas sejumlah barang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu. Motif pembunuhan sedang disiasat,” katanya.
Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil menghubungi pegawai penyiasat ASP Mingat Bakil melalui talian 019-8867978 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial