JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Polis melumpuhkan 21 sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan merampas barang larangan itu yang dianggar bernilai RM81.07 juta sejak Januari hingga bulan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata dalam tempoh sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut menahan 58 ahli sindiket terbabit dan menyita pelbagai aset berjumlah RM2.26 juta.
"JSJN turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan berjaya menahan 10,794 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama merampas dadah bernilai RM83.18 juta dengan sitaan harta bernilai RM7.49 juta," katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) pula mencatatkan kejayaan rampasan rokok tidak bercukai bernilai RM48,000 dan menggagalkan penyelewengan minyak sawit bersubsidi bernilai RM1.11 juta.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pula katanya merekodkan penyelesaian jenayah indeks sebanyak 59.64 peratus sepanjang tempoh berkenaan.
Kumar berkata sebanyak 54 kes rogol melibatkan golongan remaja direkodkan di negeri ini sepanjang 2023 hingga tahun lepas.
"Antara puncanya adalah pengaruh media sosial berunsur lucah yang mudah diakses, kurangnya pengetahuan orang awam terhadap perundangan di Malaysia berkaitan jenayah ini dan kerosakan institusi keluarga yang menyebabkan remaja kurang perhatian, kasih sayang atau kawalan daripada ibu bapa," katanya.
Justeru, beliau berkata pihaknya menerusi Unit Siasatan Seksual (D11) mengambil tindakan proaktif dengan turun padang ke sekolah dan menyampaikan ceramah kesedaran kepada pelajar berkaitan jenayah itu.
Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 47 individu menerima penghargaan daripada polis kontinjen Johor terdiri daripada empat orang awam serta 43 pegawai kanan polis, pegawai rendah dan pegawai awam kontinjen Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial