KANGAR, 16 Jun (Bernama) -- Polis Perlis berjaya merampas 7.18 kilogram (kg) ganja bernilai RM22,258 dalam dua kes berasingan di Padang Besar pada 9 dan 11 Jun lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata dalam kes Rabu lepas, seorang lelaki Thailand ditahan di kawasan Stesen KTM Bukit Keteri bersama 2.98 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM9,238.
Beliau berkata suspek ditahan ketika hendak menaiki tren dipercayai untuk menuju ke selatan dengan Padang Besar menjadi lokasi transit.
“Pemeriksaan di dalam beg galas yang disandang (suspek) berjaya menemukan 27 peket plastik mengandungi tumbuhan hijau disyaki dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Muhammad berkata soal siasat terhadap warga asing itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun di Alor Setar, Kedah pada hari sama kerana disyaki turut terlibat dalam sindiket dadah berkenaan.
“Penggunaan laluan kereta api dipercayai antara modus operandi pihak pengedar untuk membawa masuk dadah dari Thailand ke Perlis. Suspek warga Thailand itu dipercayai akan menghantar bekalan dadah dari Thailand ke Malaysia mengikut permintaan dengan mengambil upah sebanyak RM1,500,” katanya.
Beliau berkata suspek warga tempatan mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan mereka kini direman selama tujuh hari bermula 12 Jun bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam satu lagi kes, Muhammad berkata polis merampas 4.2 kg ganja dianggarkan bernilai RM13,020 di sebuah ladang di Chuping pada 9 Jun lepas, namun tidak melibatkan tangkapan kerana dadah itu dipercayai dibuang ke kawasan berkenaan.
“Kita percaya kawasan Chuping terlibat sebagai antara laluan penyeludup untuk membawa masuk dadah seperti ganja dan syabu,” katanya dan memaklumkan kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial