KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengecam serangan udara Israel ke atas wilayah Iran baru-baru ini, menyifatkannya sebagai tindakan “punitif” dan “tanpa provokasi” yang mencabuli undang-undang antarabangsa serta menggagalkan usaha diplomatik.
Anwar berkata, serangan itu jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan menghancurkan harapan untuk penyelesaian damai di rantau itu.
“Tindakan sebegini dilakukan tanpa menerima sebarang akibat, merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, seterusnya menghakis norma-norma yang menjadi tonggak kepada ketertiban dunia.
“Kami menyeru kuasa-kuasa besar dan pihak yang berpengaruh supaya bersuara lantang dan bertindak tegas bagi mengekang peningkatan konflik,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-38 di sini, Khamis.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.
Beralih kepada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, Anwar menyuarakan kebimbangan terhadap operasi ketenteraan berterusan oleh Israel yang disifatkannya sebagai tragedi yang membawa kesengsaraan besar kepada penduduk awam yang tidak berdaya.
“Jumlah korban awam yang amat tinggi, terutamanya wanita dan kanak-kanak menuntut lebih daripada sekadar pernyataan simpati.
“Ia memerlukan tindakan antarabangsa yang bersepadu untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan, memastikan gencatan senjata segera dan menjamin penghantaran bantuan tanpa halangan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
Anwar turut memberi amaran bahawa kredibiliti tatanan antarabangsa berasaskan undang-undang kini “diuji”, dan menyeru kuasa-kuasa dunia bertindak segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Menyentuh situasi di rantau Asia Pasifik, Anwar berkata tekanan yang sama turut berlaku dalam bentuk atau naratif yang berbeza.
“Di Selat Taiwan, Semenanjung Korea dan Laut China Selatan, titik panas yang sudah dikenal pasti terus bergejolak.
“Di sini, seperti biasa, kita mesti berpegang pada keutamaan dialog mengatasi kekacauan, undang-undang mengatasi huru-hara dan berhemah mengatasi ketegangan,” katanya.
Beliau berkata bahawa Malaysia percaya masa depan rantau ini tidak terletak pada pembentukan blok-blok yang keras atau keseimbangan yang rapuh, sebaliknya pada sebuah kerangka keselamatan yang inklusif, stabil dan berteraskan undang-undang — ketika prinsip tidak berpihak secara aktif bukan sahaja diterima, bahkan digalakkan untuk berkembang.
“Kita tidak mendakwa mampu membentuk rantau ini mengikut idealisme sendiri, tetapi kita boleh bertindak untuk mencegah hasil yang paling buruk.
“Kestabilan bukan sesuatu yang terjamin, tetapi kekacauan juga bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Apa yang kita lakukan sekarang — bagaimana kita mengurus ketegangan, mengimbangi hubungan dan mempertahankan kepentingan — akan menentukan bagaimana rantau ini menghadapi badai yang mendatang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial