Oleh N.Sevagamy
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Pemilik perniagaan Malaysia yang terlibat dengan transaksi antarabangsa dinasihat agar menyimpan rekod yang terperinci dan melaporkan sebarang urus niaga mencurigakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Peguam Guok Ngek Seong berkata syarikat beroperasi dalam sektor seperti maritim, petroleum dan logistik yang secara berkala melibatkan transaksi pertukaran asing perlu berwaspada dalam mendokumenkan urus niaga mereka.
Beliau berkata memiliki dokumen yang sempurna boleh menjadi pembelaan yang utuh sekiranya syarikat disiasat atas dakwaan terlibat dalam pengubahan wang haram atau aktiviti tidak sah.
“BNM mempunyai kuasa untuk melakukan pemeriksaan tahunan ke atas entiti terbabit bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan AMLA,” katanya kepada Bernama.
Ditanya sama ada litigan boleh mendapatkan perintah mahkamah melalui penemuan pratindakan atau proses Norwich Pharmacal, Guok berkata perintah itu tersedia untuk mana-mana litigan yang mahukan akses kepada dokumen daripada pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam sesuatu kes.
(Perintah Norwich Pharmacal membenarkan sesuatu pihak untuk memaksa pihak ketiga yang tidak terlibat secara langsung dalam sesuatu kesalahan untuk mendedahkan maklumat bagi mengenal pasti atau mengambil tindakan terhadap pelaku kesalahan).
“Bagaimanapun, mahkamah perlu menimbang permohonan sedemikian bagi mengelak daripada sebarang salah guna atau fishing expedition berbanding antaranya hak kerahsiaan komunikasi antara bank dan pelanggan," katanya.
“Kadangkala adalah penting bagi pelanggan untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada bank. Saya pernah berdepan situasi yang mencurigakan telah dilakukan ke dalam akaun milik beberapa organisasi yang diketahui terlibat dengan aktiviti penipuan.”
Beliau berkata satu-satunya cara untuk mangsa membuktikan bahawa kesemua transaksi ini adalah dengan mengakses dokumen yang diperlukan yang boleh membantu menunjukkan sistem yang digunakan untuk melakukan penipuan itu.
Guok berkata meskipun Seksyen 6 Akta Buku Jurubank (Keterangan) 1949 mengehadkan tindakan memaksa pegawai bank untuk mengemukakan dokumen berkaitan jika bank bukan pihak yang terlibat dalam sesuatu prosiding, mahkamah masih boleh mengeluarkan perintah sedemikian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial