AGC Akan Mulakan Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Muhammad Shafee

30/05/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataan beliau yang secara terbuka menyamakan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan "pendengaran ala Nazi-Jerman".

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan kenyataan itu dibuat dalam konteks kes yang masih berjalan merupakan serangan serius dan tidak wajar terhadap maruah, kewibawaan dan kebebasan badan kehakiman.

"Walaupun peguam berhak mencabar keputusan kehakiman melalui saluran undang-undang yang sewajarnya, kenyataan dibuat secara awam yang mencemarkan imej mahkamah atau menggugat keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan tidak boleh diterima dalam sistem perundangan kita.

"Peguam Negara memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan Perlembagaan dan institusi," menurut AGC.

AGC menegaskan prosiding penghinaan mahkamah akan diteruskan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, memelihara integriti proses kehakiman dan melindungi institusi itu daripada tohmahan serta tekanan awam yang tidak wajar.

Kenyataan AGC berkenaan sebagai respons kepada laporan media terkini serta kenyataan yang dikeluarkan oleh Tetuan Shafee & Co hari ini berhubung perkataan “Nazi-Jerman” yang dibuat semasa sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Muhammad Shafee dilaporkan membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan wartawan mengenai perintah mahkamah yang menggantung sementara prosiding semakan kehakiman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan