Ketelusan Dalam Sektor Perbankan Bendung Penipuan, Bina Kepercayaan - Peguam

29/05/2025 07:23 PM

Oleh N. Sevagamy

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pendedahan maklumat pematuhan dalaman yang konsisten dan telus oleh institusi perbankan, terutama dalam kes melibatkan kiriman wang rentas sempadan yang mencurigakan menjadi kunci utama kepada usaha meningkatkan keyakinan korporat terhadap sistem kewangan negara, kata pakar undang-undang Datuk J. Shamesh.

Beliau berkata mekanisme penemuan dokumen sebelum tindakan undang-undang yang semakin mendapat pengiktirafan oleh mahkamah di Malaysia, memainkan peranan penting dalam memaksa institusi kewangan mendedahkan dokumen penting yang boleh membantu mengesan transaksi penipuan.

“Alat undang-undang seperti Norwich Pharmacal dan Aturan 24 Kaedah 7A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 membolehkan pihak yang teraniaya mendapatkan akses kepada dokumen dalaman bank, walaupun sebelum prosiding undang-undang difailkan terutama dalam kes yang membabitkan unsur penipuan, pengubahan wang haram atau pemindahan yang meragukan,” katanya kepada Bernama.

Peguam korporat itu turut menjelaskan bahawa meskipun alat undang-undang itu tidak bertujuan untuk mengaitkan pihak bank, ia membolehkan akses kepada rekod yang boleh membantu mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan atau menguatkuasakan hak undang-undang.

Beliau merujuk kes First Malaysia Finance Bhd lwn Dato’ Mohd Fathi Haji Ahmad [1993] 3 CLJ 329, apabila mahkamah mengiktiraf prinsip Norwich Pharmacal dengan memutuskan bahawa pihak ketiga seperti bank boleh diperintahkan untuk mendedahkan maklumat jika terlibat secara tidak langsung dalam salah laku yang berpotensi berlaku.

Shamesh berkata keputusan itu membuktikan bahawa rekod pematuhan, rangka kerja antipengubahan wang haram (AML), amaran dalaman dan jejak audit boleh didedahkan apabila terdapat kepentingan undang-undang yang sah.

Beliau berkata mahkamah boleh mengeluarkan perintah pendedahan apabila terdapat bukti penipuan, salah laku kewangan, penggunaan akaun pihak ketiga untuk pemindahan dana haram, pelanggaran dasar pematuhan dalaman atau aktiviti pengubahan wang haram yang melibatkan transaksi rentas sempadan.

“Pendedahan ini amat penting apabila timbul keraguan terhadap kawalan dalaman sesebuah bank atau apabila terdapat petunjuk awal semasa proses ketekunan wajar,” tambahnya.

Shamesh berkata kerjasama bank secara konsisten dan telus dalam prosiding seperti ini boleh meningkatkan tahap kepercayaan dalam kalangan pelanggan korporat.

“Syarikat korporat mahu jaminan bahawa institusi kewangan akan menyokong siasatan yang sah dan tidak menjadi tempat perlindungan kepada pemindahan wang yang mencurigakan,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa penentangan atau pendedahan secara terpilih oleh pihak bank boleh menimbulkan kesan sebaliknya, sekali gus menggugat keyakinan orang ramai dan korporat terhadap komitmen sektor itu kepada ketelusan.

“Jika digunakan secara konsisten, amalan pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan pematuhan kepada piawaian tadbir urus, malah menghantar mesej jelas bahawa bank juga menjadi rakan strategik dalam membanteras jenayah kewangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan