KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan dua vesel nelayan asing (VNA) dari Indonesia dan Vietnam menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram di perairan Miri, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata kedua-dua vesel berkenaan ditahan masing-masing kira-kira 38 batu nautika barat laut Kuala Suai dan 31 batu nautika barat laut Kuala Niah.
“VNA Indonesia ditahan sekitar 12 tengah hari, manakala VNA Vietnam berjaya dipintas pada 5.45 petang hasil maklumat awam yang diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika cubaan menahan VNA Vietnam, anggota bot ronda Maritim Malaysia berdepan situasi cemas apabila kru vesel terbabit bertindak agresif dan enggan bekerjasama.
“Mereka melakukan manuver berbahaya, selain membaling objek keras dan tajam ke arah anggota penguat kuasa dalam keadaan laut bergelora yang mengancam keselamatan nyawa pasukan keselamatan.
“Namun, tindakan pantas dan profesional anggota Maritim Malaysia berjaya mengawal keadaan serta menahan vesel berkenaan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Menurutnya seramai lapan kru termasuk dua tekong terdiri daripada lima warga Indonesia dan tiga warga Vietnam berumur antara 25 hingga 53 tahun turut ditahan.
Katanya operasi membawa masuk kedua-dua vesel tahanan ke Kompleks Zon Maritim Miri mengambil masa lebih 18 jam disebabkan faktor cuaca dan lokasi tangkapan yang jauh dari pangkalan.
Menurutnya bot-bot berkenaan bersama peralatan menangkap ikan dan navigasi yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.3 juta telah dirampas, manakala kru disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial