Maritim Rampas 30 Bubu Naga Di Perairan Pulau Talang

29/05/2025 07:10 PM

IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 30 unit bubu naga yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Pulau Talang, Pantai Remis, semalam.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata rampasan dilakukan pada pukul 1.15 tengah hari ketika rondaan rutin oleh anggota Maritim Malaysia.

Menurutnya anggota sama turut menemui beberapa pelampung dan bendera yang digunakan sebagai penanda lokasi bubu berkenaan.

"Kawasan perairan Pulau Talang dikenal pasti sebagai antara lokasi panas kegiatan penangkapan ikan secara haram menggunakan bubu naga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata penggunaan bubu naga adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya rampasan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam membanteras penggunaan peralatan yang boleh menjejaskan ekosistem serta kelestarian sumber laut negara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara. Tindakan tegas akan diambil demi menjamin keselamatan perairan dan menjaga kepentingan komuniti nelayan,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan