Kenderaan Terjunam Dalam Gaung, Bapa Dan Anak Perempuan Maut

29/05/2025 05:26 PM

SEGAMAT, 29 Mei (Bernama) -- Seorang bapa dan anak perempuannya berusia sembilan tahun maut apabila kenderaan yang dinaiki enam sekeluarga itu, terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Kwongsai, Jalan Segamat-Labis, di sini petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Che Deraman berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Fitri Md Said, 39, dan Nurin Insyirah Mohd Fitri, 9.

Beliau berkata isteri mangsa Nurain Farhana Johari, 32, serta tiga anak mereka Nur Atiya Mohd Fitri, 2, Muhammad Zikri Mohd Fitri, 11, dan Nur Hisna Mohd Fitri, 4, pula mengalami kecederaan.

Zainal Abidin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden membabitkan pacuan empat roda terbabas dan terjunam berkenaan pada 6.47 petang.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Tiba di lokasi didapati sebuah kenderaan terjunam ke dalam gaung dan dua mangsa tersepit di bawah kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Anggota bertugas bertindak menggunakan peralatan khas Hydraulic Ramp dan lain-lain untuk menstabilkan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan, manakala empat mangsa yang lain yang mengalami kecederaan telah keluar sendiri dan di bawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan dari arah sama iaitu Labis menghala Segamat.

“Ketika tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa bersama lima penumpang dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal.

“Kenderaan itu terlanggar bahagian belakang kanan sebuah lagi pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 30-an sebelum melanggar pula sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang wanita  berusia 30-an dan dinaiki dua penumpang," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kemalangan berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan