Polis Tahan 30 Individu Dalam Op Dadu Di Jalan Tun Razak

28/05/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Polis menahan 30 individu termasuk seorang warga China dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, di sini hari ini kerana disyaki terlibat aktiviti pusat panggilan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata serbuan menerusi Op Dadu pada 11.30 pagi itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan D7 Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita tempatan serta seorang warga China, berumur lingkungan 20 hingga 27 tahun dengan kesemua mereka bertindak sebagai pekerja di pusat panggilan terbabit.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk melakukan perjudian antaranya 30 monitor komputer berserta tetikus dan papan kekunci jenama HP, 60 telefon bimbit, sekeping kad akses, dua router dan satu jalur lebar mesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan mempromosikan judi dalam talian kepada warga China dan percaya sindiket itu sudah beroperasi selama dua bulan serta didalangi seorang lelaki warga China yang masih bebas.

“Kesemua ditangkap dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan