Perhilitan Tahan Lelaki Sembur Cat Pada Monyet

24/05/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang lelaki yang didakwa melakukan perbuatan kejam menyembur cat terhadap seekor monyet yang berada di dalam sangkar di Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai veterinar daerah Petaling pada 2.10 pagi tadi yang memaklumkan mengenai video tular berhubung kejadian itu.

“Pengadu telah melihat video yang telah tular di Facebook berdurasi lima saat yang memperlihatkan seorang lelaki telah menyembur cat pada seekor monyet yang berada di dalam sangkar. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Taman Desa Moccis, U17, Shah Alam.

“Setelah siasatan awal dijalankan, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh telah mengklasifikasi kes kepada rujuk lain agensi (Jabatan Veterinar dan Jabatan Perhilitan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perhilitan juga telah membuat satu lagi laporan berkaitan tindakan menangkap lelaki itu mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Hafiz berkata polis menasihati orang ramai agar tidak menyeksa haiwan dan perbuatan itu adalah satu kesalahan selain mengingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi Sarjan Mejar Azmir Azriezal Ramli di talian 019-5665870.

Terdahulu, tular di Facebook video seorang lelaki menyembur cat ke arah seekor monyet di dalam sangkar yang mencetuskan kemarahan netizen dan pencinta haiwan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan