Bawa Masuk Barang Berbahaya Melalui Kargo KLIA: SPRM Rakam Percakapan 24 Individu

23/05/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan 24 individu bagi membantu siasatan berhubung isu membawa masuk barang berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang disyaki mempunyai unsur rasuah.

Menurut sumber, individu yang dipanggil terdiri daripada pekerja tiga syarikat selain pegawai dan kakitangan tiga agensi penguatkuasaan di KLIA.

“Siasatan dijalankan susulan kegiatan membawa masuk bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut prosedur operasi standard sekali gus mendedahkan KLIA kepada ancaman keselamatan.

“Berdasarkan siasatan awal, bahan kimia berkenaan diikrarkan sebagai produk aksesori atau barangan isi rumah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi berkata pihaknya kini mengenal pasti isu kelemahan tatakelola yang menyebabkan barangan berbahaya mudah dibawa masuk.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola untuk meneliti aspek kelemahan tatakelola, pentadbiran, pengurusan dan penguatkuasaan yang membolehkan barangan terbabit dibawa masuk dengan mudah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan