KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa amat penting dalam menghadapi cabaran jenayah moden yang semakin kompleks, kata Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zamri Zainuddin.
Perkara itu disampaikan beliau pada pertemuan SPRM dengan wakil Australian Federal Police (AFP) Nick Morgan di ibu pejabat agensi itu di sini hari ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia dalam memerangi rasuah serta jenayah rentas sempadan.
“Perjumpaan ini menzahirkan komitmen bersama SPRM dan AFP dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa demi membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara lebih berkesan, sekali gus menjamin keselamatan dan integriti kedua-dua negara.
“Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah berkongsi maklumat penting serta bertukar pandangan mengenai strategi dan amalan terbaik dalam siasatan jenayah rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah kewangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan BOK menerusi perbincangan itu turut meminta bantuan AFP untuk mengesan seorang suspek yang telah dikenakan Red Notice dan sedang disiasat oleh bahagian itu.
“Pihak AFP telah menyatakan komitmen mereka untuk memberikan bantuan melalui kerjasama dua hala antara agensi bagi mengesan serta mengekstradisi suspek tersebut ke negara ini bagi tujuan pertuduhan mengikut perundangan yang berkuat kuasa,” menurut SPRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial