KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Polis menahan 10 individu termasuk tiga warga asing dalam Op Mega yang dijalankan di daerah Dungun dan Kemaman semalam.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata tangkapan suspek berusia 23 hingga 52 tahun itu adalah hasil serbuan di 15 lokasi berasingan termasuk bengkel motosikal, premis besi buruk, kedai barangan lusuh serta rumah kediaman.
“Sebanyak 79 anggota terdiri daripada pasukan polis dan anggota penguat kuasa daripada agensi lain terlibat dalam Op Mega yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk motosikal, enjin motosikal, barangan lusuh, keratan kabel, gelung tembaga dan pelbagai komponen kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata tiga warga Myanmar yang ditahan direman selama 14 hari bermula hari ini hingga 5 Jun depan, manakala tujuh warga tempatan direman sehari pada hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.
“Sampel minyak terpakai diambil oleh JAS untuk dihantar ke makmal dan disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Op Mega akan dijalankan secara terancang dan berkala di setiap daerah bagi memastikan pemilik dan penjaga kedai barangan lusuh, bengkel serta premis besi buruk mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial