Helah Wanita Indonesia Sembunyi Bawah Katil Elak Ditahan Gagal

03/06/2025 11:00 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Jun (Bernama) -- Percubaan seorang wanita warga Indonesia bersembunyi di bawah katil bagi mengelak daripada ditangkap gagal selepas taktik itu berjaya dikesan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.

Pengarah JIM Terengganu Mohd Yusri Mohd Nor berkata wanita berusia 30-an itu antara 11 pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Ops Sapu di daerah Kemaman dan Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata wanita itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Baru Kijal di Kemaman atas kesalahan tinggal melebihi masa.

"Ketika serbuan, lelaki yang berada di dalam rumah itu mendakwa tinggal berseorangan namun penipuannya terbongkar selepas pegawai penguat kuasa menemui pakaian wanita dalam sebuah bilik dan setelah diperiksa, pihak kami menemui seorang wanita sedang menyorok di bawah katil.

"Pasangan tersebut menunjukkan sekeping surat nikah namun tidak dapat disahkan kesahihannya kerana bukan dikeluarkan oleh pejabat agama berautoriti di Malaysia," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya turut menahan empat warga Bangladesh, tiga warga Indonesia serta dua warga Thailand berusia lingkungan lima hingga 49 tahun dalam serbuan di tujuh premis dan mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, beliau berkata satu notis telah dikeluarkan kepada seorang lelaki warga tempatan untuk hadir ke pejabat JIM Terengganu untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan