Penjawat Awam Kerugian RM50,000 Diperdaya "Phone Scam"

22/05/2025 04:27 PM

IPOH, 22 Mei (Bernama) -- Seorang penjawat awam kerugian RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata wanita tempatan berusia 40 tahun itu ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibuat wanita itu semalam, mangsa telah menerima panggilan daripada suspek yang mengaku sebagai pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa lepas ketika berada di pejabatnya.

"Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan waran tangkap telah dikeluarkan di Bukit Aman. 

"Mangsa juga telah diberitahu suspek bahawa dia terlibat menjual kad bank miliknya kepada seorang lelaki tempatan yang telah ditangkap selain bersubahat menerima komisen penjualan dadah sebanyak RM228,000," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abang Zainal Abidin berkata suspek telah mencadangkan agar mangsa menyimpan aset berharga dalam simpanan suspek memandangkan rumah mangsa bakal digeledah. 

"Mangsa yang bersetuju dengan cadangan itu kemudian berjumpa suspek di hadapan sebuah klinik pergigian di Pusat Perniagaan Falim dan menyerahkan barang kemas miliknya dan juga milik ibunya. 

"Selepas merasakan dirinya ditipu, mangsa kemudiannya membuat satu laporan polis berhubung kejadian yang berlaku," katanya. 

Beliau berkata bertindak atas laporan yang diterima, pihak polis telah meneliti satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. 

"Hasil semakan daripada nombor pendaftaran kenderaan suspek, kita telah berjaya melakukan satu tangkapan terhadap seorang wanita tempatan berumur 56 tahun pada 8.40 malam semalam. 

"Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, surat pajak gadai, tiga utas rantai tangan, seutas rantai leher, dua bentuk cincin, empat keping bar emas seberat empat gram dan dua keping syiling perak yang dipercayai milik mangsa," katanya. 

Abang Zainal Abidin berkata hasil siasatan awal mendapati suspek telah mengaku mengambil barang kemas terbabit daripada mangsa atas arahan yang diberikan pihak yang tidak dikenali (scammer) dan suspek itu telah ditahan reman bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan