LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) -- Sebanyak 27 laporan diterima berhubung kerosakan kediaman penduduk kampung dipercayai akibat gegaran semasa pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata kesemua laporan akan disiasat sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam) akan membuat pemeriksaan dan setelah pemeriksaan dan pengesahan dilakukan, hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak penganjur (Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC)) untuk membuat kategori,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Operasi Keselamatan dan Lalulintas sempena LIMA’25 di Pusat Latihan Polis Langkawi, di sini hari ini.
Pada masa sama, Fisol berharap laporan yang dibuat adalah sahih dan tiada pihak mengambil kesempatan atas insiden berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mengambil maklum dan tidak akan mengabaikan dakwaan kerosakan rumah penduduk yang dilaporkan berkaitan LIMA’25.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 9,000 parkir disediakan di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan 300 lagi di Resort World Langkawi, bagi kemudahan pengunjung ke LIMA’25 yang mula dibuka kepada orang awam, esok.
“Orang ramai yang hendak menyaksikan pertunjukan udara mahupun maritim esok dinasihatkan datang lebih awal bagi mendapatkan parkir. Saya juga difahamkan sebanyak 35,000 tiket dalam talian telah dijual dan saya rasa itu adalah jumlah yang besar,” katanya.
Selain itu, Fisol turut menyarankan supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan e-hailing rasmi LIMA’25 iaitu MyCar kerana lebih murah berbanding bergerak sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial