PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia menyambut baik kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 19 Mei oleh Menteri Luar dari 23 negara penderma kepada Palestin, yang menyeru bantuan kemanusiaan ke Gaza disambung semula dengan segera dan mengutuk sepenuhnya tindakan Israel yang terus menghalang bantuan bagi tujuan menyelamatkan nyawa.
Dalam kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata pendirian kolektif itu merupakan langkah kritikal bagi menyuarakan semula isu “bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden dunia yang telah lama sepi.”
“Malaysia menentang sebarang tindakan yang menyebabkan kebuluran orang awam dan menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.
“Masyarakat antarabangsa seharusnya bersatu dan bertindak untuk memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menjamin akses tanpa sekatan kepada keperluan asas termasuk bekalan makanan, air dan perubatan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia tetap teguh dalam solidaritinya dengan rakyat Palestin dan mengulangi seruan kepada negara yang masih belum mengiktiraf Negara Palestin, untuk berbuat demikian dengan segera.
Pengiktirafan bukan sahaja bersifat simbolik, ia adalah langkah yang diperlukan untuk mengakhiri penjajahan selama berdekad-dekad dan memulihkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, maruah, dan keamanan,” tambah kenyataan itu.
Wisma Putra turut mengingatkan tanpa kehendak politik, tiada penyelesaian, hanya kitaran berterusan keganasan dan penderitaan.
Kenyataan bersama negara penderma itu dikeluarkan susulan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (19 Mei) bahawa hanya sembilan trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza - satu jumlah yang disifatkan sebagai “jauh daripada mencukupi” dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang kian meruncing, menurut laporan media antarabangsa.
Kesemua 23 negara yang menandatangani kenyataan itu termasuk Australia, Britain, Perancis, Jerman, Jepun dan New Zealand.
Mereka mengakui terdapat sedikit tanda bantuan mula disambung semula tetapi menyatakan bahawa Israel telah menghalang akses kemanusiaan ke Gaza selama lebih dua bulan.
“Makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting telah habis,” menurut kenyataan PBB, sambil menambah bahawa “penduduk kini berdepan kebuluran” dan “rakyat Gaza mesti menerima bantuan yang amat mereka perlukan.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial