BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan MADANI Umum Inisiatif Baharu Berjumlah Lebih RM42 Juta Untuk Masyarakat India

15/10/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali kali ini diserikan dengan pengumuman beberapa inisiatif baharu berjumlah RM42.25 juta kepada masyarakat India yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India Datuk Seri R. Ramanan berkata antara inisiatif itu ialah program tuisyen percuma dikenali 'Kalvi MADANI,' pemberian komputer riba menerusi Peranti Siswa serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). 

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata Kalvi MADANI bakal memanfaatkan murid di 200 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi peruntukan RM8 juta, mengambil pendekatan Program Tuisyen MADANI dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu sebelum ini. 

“Kedua, sebanyak 3,000 pelajar tahun pertama instituti pendidikan tinggi (IPT) akan menerima komputer riba baharu paling lewat pada 31 Dis ini menerusi peruntukan RM7.95 juta di bawah Peranti Siswa, dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40. 

“Seterusnya, peruntukan RM12.8 juta diberikan kepada 173 SJKT mengikut keperluan untuk pembaikan kecil, pembelian perabot dan keperluan lain. Senarai sekolah akan dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya pada sidang media khas selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di sini hari ini. 

Beliau berkata daripada keseluruhan 526 SJKT, 173 sekolah itu adalah sekolah kerajaan yang perlu berkongsi peruntukan KPM dengan semua jenis sekolah, manakala baki 363 SJKT pula sekolah bantuan kerajaan, yang mendapat bantuan lebih. 

Satu lagi inisiatif baharu diumumkan hari ini ialah Program Pembasmian Miskin Tegar melibatkan RM3.5 juta menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN). 

“Langkah ini akan memanfaatkan 1,064 penerima yang akan menerima RM300 atau kadar maksimum RM1,750. Senarai penerima akan diperolehi daripada eKasih,” katanya. 

Ramanan berkata kerajaan juga meneruskan Bantuan Awal Kemasukan IPT 5.0 dengan peruntukan RM10 juta kepada pelajar B40, dengan sumbangan RM2,000 bagi pelajar biasa dan RM3,000 kepada pelajar orang kurang upaya.

Beliau berkata permohonan perlu dikemukakan menerusi lawan web https://mitra.gov.my bermula 3 petang Jumaat ini (17 Okt) hingga 17 Nov ini.

Sementara itu, beliau berkata permohonan untuk program pemerkasaan rumah ibadat sebagai pusat komuniti dan kebudayaan dikenali sebagai ‘Dharma MADANI’ melibatkan peruntukan RM20 juta yang diumumkan sebelum ini perlu dikemukakan bermula 3 petang Jumaat ini hingga 3 petang 3 Nov ini menerusi www.perpaduan.gov.my

“Fasa pertama melibatkan peruntukan sehingga RM20,000 untuk 1,000 rumah kuil, dengan hanya 10 peratus daripadanya boleh digunakan untuk kos operasi dan pembelian peralatan, manakala selebihnya untuk program kebudayaan seperti kelas keagamaan, ‘thevaram’ dan tarian. 

“Sekiranya 1,000 kuil ini memenuhi semua syarat dan kelayakan, menghantar laporan prestasi kepada MITRA mengikut masa yang ditetapkan yang kesemuanya secara berstruktur, kita akan bagi mereka peluang pada fasa kedua nanti,” katanya. 

Beliau turut menganjurkan jamuan makan tengah hari bagi penggiat media Tamil sempena sambutan Deepavali pada Isnin, yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan